Sirul Azhar ingin mohon pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong
Sirul Azhar ingin mohon pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong

Keinginan tersebut disuarakan oleh Sirul Azhar dalam kenyataannya kepada Utusan Malaysia, hari ini dan semalam.

“Ini kerana tanpa pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong, Australia tidak boleh melepaskan saya daripada tahanan,” kata Sirul Azhar.

Menurutnya, dia juga akan bekerjasama dengan kerajaan yang baharu untuk menjadi saksi sekiranya kes itu dibuka semula.

“Saya mengalu-alukan pertolongan daripada kerajaan Malaysia dan memohon kerajaan supaya bekerjasama dengan kerajaan Australia bagi membebaskan saya daripada Pusat Tahanan Imigresen di Brisbane, Australia,” katanya.

Sirul Azhar berada dalam tahanan imigresen di Brisbane sejak 20 Januari 2015.

Menurut Sirul Azhar, hasrat itu ekoran daripada rasa tidak puas hatinya terhadap keputusan perbicaraan kes bunuh itu.

Sirul Azhar yang pernah bertugas mengiring VVIP (orang kenamaan penting) di luar negara itu juga tidak berpuas hati kerana tiada saksi mata (eyewitness) dikemukakan dan mahkamah hanya bergantung kepada bukti-bukti keterangan semasa yang tidak kuat.

Pada 23 Ogos 2013, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara telah melepas dan membebaskan Sirul Azhar (tertuduh kedua) dan bekas anggota unit selam tempur UTK, Azilah Hadri (tertuduh pertama) selepas berpuas hati bahawa tidak selamat untuk mengekalkan sabitan dan hukuman gantung yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 April 2009.

Azilah kini berusia 42 tahun, dan Sirul Azhar didakwa atas pertuduhan membunuh wanita kelahiran Ulan Bator berusia 28 tahun antara pukul 10 malam, 19 Oktober dan pukul 1 pagi, 20 Oktober 2006 di antara Lot 12843 dan Lot 16736, Mukim Bukit Raja, Klang dekat sini.

Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari 2015 bagaimanapun menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap kedua-duanya selepas membenarkan rayuan pendakwa raya yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan.

Pada tarikh tersebut hanya Azilah yang hadir dan mahkamah itu telah mengeluarkan waran tangkap dan perintah komital terhadap Sirul Azhar ekoran ketidakhadirannya ke mahkamah.

Bekas penganalisis politik, Abdul Razak Baginda, 58, yang pada mulanya didakwa bersubahat dengan mereka, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober 2008 selepas mendapati pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadapnya.

UTUSAN ONLINE