Search
Tuesday 4 December 2018
  • :
  • :

Penat Kekasih Asyik Minta Gambar dan Video Bogel

Penat Kekasih Asyik Minta Gambar dan Video Bogel

Penat hantar gambar dan video bogel

Kuala Lumpur: Seorang gadis terpaksa membuat laporan polis selepas tidak larat melayan ketagihan kekasihnya yang kerap memaksa mangsa menghantar gambar dan video bogel sejak enam tahun lalu.

Mangsa yang menganggap dirinya tidak ubah seperti ‘hamba seks’ terpaksa mendedahkan kisah memalukan itu selepas diugut mahu dibunuh selain gambar bogelnya disebarkan.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ng, 20, memaklumkan dia mula mengenali lelaki berusia 27 tahun itu melalui Facebook (FB) ketika usianya baru mencecah 14 tahun.

Menurutnya, lelaki itu bijak bermain kata-kata sebelum mereka mengikat hubungan sebagai pasangan kekasih.

“Selepas lebih enam bulan berkenalan, lelaki itu yang bekerja sebagai tukang masak mula meminta saya memberikan gambar bogel serta rakaman video bogel.

“Saya sering menolak permintaannya, namun akur kerana sayangkan dia. Namun dia menjadi semakin ketagih dan sering meminta saya berbuat demikian (menghantar gambar bogel).

“Sepanjang tempoh dari tahun 2012 hingga kini, sudah ratusan gambar bogel serta rakaman video termasuk panggilan video dihantar kepada lelaki itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat MCA, di sini, semalam.

 

CHONG bersama mangsa menunjukkan gambar suspek. FOTO NSTP

 

Ng berkata, dia yang sudah tidak tahan melayan permintaan lelaki itu kemudian mahu memutuskan hubungan mereka, namun tidak dipersetujui tukang masak terbabit.

“Dia mengugut mahu menyebarkan gambar bogel saya ke media sosial serta laman web jika saya nekad memutuskan hubungan kami.

“Malah dia mengugut bahawa orang lain juga tidak boleh memiliki saya. Tindakan lelaki itu menyebabkan saya membuat laporan di Balai Polis Bukit Raja, Klang, Selangor, pada 21 Jun lalu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, pihaknya menerima 12 kes berkaitan peras ugut membabitkan gambar atau video bogel bagi tempoh Januari hingga Jun lalu.

“Daripada 12 kes itu, satu daripadanya membabitkan mangsa lelaki,” katanya.

Kebanyakan mangsa terjebak dalam masalah ini kerana terlalu percayakan pasangan dan memberikan gambar bogel sebagai tanda sayang.

“Namun, ada juga tindakan mereka berbogel di depan pasangan dirakam tanpa pengetahuan mangsa sebelum mereka diugut sama ada untuk mendapatkan wang atau tidak mahu mengakhiri hubungan,” katanya.