INFO PENTING: Penyakit Anjing Gila (RABIES)

INFO PENTING: Penyakit Anjing Gila (RABIES)

Penyakit Anjing Gila (RABIES)

KES PENYAKIT ANJING GILA (RABIES) DI SARAWAK

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan  bahawa kes kelima rabies iaitu seorang lelaki berumur 52 tahun dari Kampung Remun, Sarawak yang telah dilaporkan oleh KKM pada 19 Julai 2017 setelah disahkan positif rabies pada 18 Julai 2017, telah meninggal dunia pada 23 Julai 2017, jam 10:43 malam. Penyebab kematian adalah rabies with underlying pulmonary tuberculosis.

Sehingga 24 Julai 2017, terdapat lima (5) kes dalam kalangan manusia yang telah disahkan positif rabies di mana kesemuanya telah meninggal dunia. Kesemuanya adalah dilaporkan di Serian, Sarawak. Tiada kes baru dilaporkan buat masa ini.

Sebanyak 20 kawasan di dalam tiga (3) bahagian iaitu Bahagian Serian, Bahagian Sri Aman dan Bahagian Kuching telah diisytiharkan kawasan jangkitan rabies dalam kalangan haiwan oleh Kerajaan Negeri Sarawak. Sehubungan itu, aktiviti kawalan dan pencegahan termasuk pengesanan kes gigitan anjing mengikut prosedur sedia telah dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dan Pejabat Kesihatan Bahagian yang terlibat. Sehingga 23 Julai 2017, sebanyak 770 kes gigitan haiwan (anjing dan kucing) di dalam tiga (3) bahagian yang terlibat telah dikesan dan diberikan rawatan lanjut.

KKM menasihati orang awam yang tinggal di Bahagian Serian, Bahagian Sri Aman dan Bahagian Kuching, Sarawak agar mengambil langkah-langkah pencegahan seperti berikut bagi mengelakkan dari dijangkiti penyakit rabies:

  1. Cuci bahagian tubuh yang digigit dengan sabun dan air mengalir bagi menghilang kesan air liur;
  2. Dapatkan rawatan segera ke klinik kesihatan atau hospital terdekat jika telah mengalami gigitan haiwan seperti anjing atau kucing peliharaan yang agresif atau anjing liar;
  3. Pastikan anjing atau kucing peliharaan telah mendapatkan suntikan anti-rabies di klinik haiwan terdekat dan elakkan kontak bersama haiwan atau anjing liar;
  4. Jika anjing atau kucing peliharaan didapati tidak sihat atau agresif dapatkan rawatan di klinik haiwan dan laporkan ke Pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar setempat;
  5. Laporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan jika terdapat anjing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal; dan
  6. Sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti amalan kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun selepas kontak dengan anjing peliharaan.

KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri akan terus mempertingkatkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri, Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta agensi-agensi lain di negeri berkaitan bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA   
24 Julai 2017

——————————————————————————————————————————————————————-

Apakah Penyakit Rabies?

Penyakit rabies adalah sejenis penyakit yang disebabkan oleh jangkitan Lyssavirus dari haiwan seperti anjing yang dijangkiti rabies.

Rabies berjangkit melalui luka gigitan, luka terbuka pada kulit dari air liur, cairan atau tisu tubuh dari haiwan tersebut kepada manusia.

Masa inkubasi rabies adalah 3 minggu hingga 2 bulan dari gigitan haiwan rabid hingga timbul gejala.

Individu yang dijangkiti rabies akan mengalami tanda klinikal seperti demam, sakit badan dan kepala, hidrofobia, lumpuh dan koma. Rabies adalah satu penyakit yang menyebabkan kematian 100% jika tanda-tanda penyakit telah timbul.




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *